
profil penulis
~ Chomeyl ~

Nama pena
Nama sebenar
Email
Profesion
website
Hobby
Asal
Karya-karya :-
|
: Chomeyl
: Nurhayati Rosly
: dasar_chomeyl@yahoo.com
: Pelajar
: http://chomeyl.fotopages.com
: baca blog, jalan2, shopping
: Orang Qelate
|
--------------------------------------------------------------------

Hati dan keperitannya
Mega merah ungu yang indah di dada langit menjadi medium perantara di mana
sekeping hati mampu berbicara seenaknya tanpa menyedari segala yang berlaku di
sekeliling. Aku berjalan perlahan merentasi taman bunga Avila yang di penuhi
daun-daun ‘maple’ kekuningan yang bertaburan di tanah. Pohon-pohon itu semakin
togel setiap kali angin bertiup. Kesejukan musim sejuk mencengkam sehingga ke
tulang hitamku meskipun tubuhku telah dibaluti jaket tebal.
Aku memandang
ke depan, ke arah teman-teman sekelas yang sedang bergambar mengabdikan
kenangan. Kami memilih Avila sebagai destinasi untuk menghabiskan cuti sempena
perayaan Halloween. Perjalanan dari Madrid ke Avila memakan masa sejam setengah
menaiki keretapi Renfe. Junpei melambai-lambaikan tangannya ke arah aku,
mengajak untuk menyertai mereka dalam sesi bergambar tak rasmi itu. Pelawaan
jejaka kacak dari Jepun yang sentiasa kelihatan bergaya itu tak mampu aku tolak.
Aku berlari-lari anak menyertai teman-teman lain, “zusammen
photomachen”, jerit rakan-rakanku. Itu kata-kata dalam bahasa Jerman yang selalu
kami tuturkan setiap kali ingin bergambar beramai-ramai. Sekurang-kurangnya
pengajian di kota Munich selama setahun membolehkan kami menuturkan beberapa
patah perkataan Jerman. Kini tinggal tak sampai setahun lagi untuk kami
mengharungi sisa-sisa pengajian di kota Madrid pula.
Waktu sudah
menjengah malam sesampainya aku di rumah. Kepenatan yang menguasai diri
membuatkan akal mengarahkan tangan mencapai pizza dalam peti, memusing 5minit di
ketuhar gelombang. Teringat pulak pada mak di kampung yang selalu merungut
tentang kemalasan orang-orang bandar berpunca dari kemajuan teknologi. Aku
tersenyum sendiri bila menyedari kebenaran kata-kata itu turut melibatkan aku
selaku salah seorang penyumbangnya.
Menikmati pizza berperisa tuna
sambil menonton rancangan tv dalam bahasa yang tidak sepenuhnya aku fahami
membantu otak aku terbang jauh meninggalkan bumi Sepanyol ini. Hebat benar kuasa
yang ada pada lelaki itu sehinggakan masa-masa terluang aku sarat dengan
ingatan-ingatan tentangnya. Sedangkan hakikatnya dia tak pernah aku temui dalam
hidupku. Perkenalan kami bermula secara tak sengaja bila aku terbaca tulisannya
dalam blog.
Kesunyian memaksa aku membaca apa saja yang aku temui di
internet. Takdir menentukan mata ini singgah di laman blog tulisannya. Laman
blog tentang fotografi itu turut menyelitkan isi tulisan yang menarik perhatian
aku untuk menjadi pembaca setia. Hazrul akan memaparkan sekeping gambar saban
minggu dan dari gambar itu, dia menulis perkaitan gambar itu dalam kehidupan.
Sesuatu yang tak pernah terfikir oleh minda aku selama ini.
Tergambar
jelas di ruangan mata aku gambar pertama yang aku lihat di blognya ialah gambar
sebotol madu yang diletakkan di tepi sebotol racun tikus. “Orang kata kalau
kita tak merasa kepahitan dalam hidup, kita takkan dapat menikmati betapa
berertinya setiap kemanisan yang hadir dalam hidup. Aku mahu menjadi manusia
yang mampu menilai perbezaan antara madu dan racun tapi aku takkan mungkin boleh
menelan racun itu, lalu bagaimana pula aku bisa mengetahui betapa manisnya madu
itu?”, itu nukilan Hazrul pada gambar tersebut.
Pertama kali membacanya aku merasa yang Hazrul sudah gila
kerana ingin menelan racun sekadar untuk mengetahui betapa manisnya madu itu.
Lalu aku kirimkan komen pada gambar itu, untuk membantah pendapatnya itu.
Dia membalas komen itu pada e-mel ku, memohon di beri ruang untuk dia
berkarya seenaknya dan dia akan memberi ruang kepadaku untuk mengkritik
sewenangnya juga, dengan syarat aku harus membaca setiap patah nukilannya
berkali-kali agar maksud yang ingin disampaikan akan menjengah ke dasar hatiku.
Aku menarik nafas yang panjang sebelum kembali merenung gambar itu, membuka
kotak fikiran untuk berfikir lebih jauh. Akhirnya aku tersenyum sendiri bila
dapat memahami apa yang Hazrul ingin nyatakan.
“Betapa selama ini
manusia sering merasakan kepahitan itu sebagai unsur negatif yang merosakkan
diri sehingga membunuh hati untuk menikmati indahnya kehidupan ciptaan Yang Esa.
Betapa insan sering terlupa yang mereka punya pilihan untuk mengharungi
setiap keperitan itu, biar pun dipenuhi kepedihan tapi akhirnya apabila ia
berlalu, kita akan menjadi orang yang lebih tabah. Semoga selepas itu,
perkara-perkara lain yang terjadi dalam hidup akan lebih di hargai dan di anggap
manis kerana yang paling pahit itu sudah berlalu pergi, menjauh dari hidup”, aku kirimkan penilaianku terhadap gambar itu setelah puas aku menafsir nukilan
kata-kata Hazrul.
Dan di sinilah bermulanya perhubungan tanpa nama
ini. Aku akan menjadi pengunjung setia blognya, bersedia untuk menafsir setiap
paparan gambar yang di abadikan oleh kamera DSLR Hazrul. Kadang-kadang kami akan
berhubungan di laman blognya, atau di e-mel dan selepas itu berlanjutan pula
perbicaraan kami di yahoo masengger. Kali ini aku merasakan kata-kata mak
sebelum ini tersilap, kemajuan teknologi sekurang-kurangnya menjadikan aku insan
yang rajin ….. rajin menaip!
Sejak itu aku semakin menjadi seseorang
yang selalu mengaitkan apa yang aku pelajari supaya dapat aku aplikasikan dalam
kehidupan. Terkesan dengan laman blog Hazrul, aku semakin ralit menafsir
subjek-subjek kejuruteraan yang aku pelajari untuk aku ubah jua menjadi prinsip
kehidupan. Apabila Prof Angel khusyuk menerangkan pembezaan demi pembezaan yang
terdapat dalam ‘Navier Stokes Equations’ untuk mendapatkan penyelesaian bagi
mengetahui kelakuan terma bendalir dalam skala micro electron, mindaku turut
khusyuk memberitahu akal, “ Jika kita meneliti sedalam-dalamnya dalam setiap
permasalahan yang melanda, kita akan menemui penyelesaian nya walaupun permulaan
suatu penyelesaian itu sendiri biasanya amat sukar dan penuh berliku”.
Gila. Memang dunia ini penuh dengan hal-hal yang tak tercapai dek
akal. Mana mungkin orang percaya, seorang pelajar sarjana dalam kejuruteraan
aeronautik melihat Navier Stokes Equation, Boltzmann Theory, Newton Limit in
Hypersonic Aerodynamic, Lagrange-Hamilton Method, dan berpuluh-puluh lagi teori
lain sebagai aspek dalam kehidupan. Kadang-kadang aku tak pernah dapat memahami
apa yang cuba di sampaikan oleh pensyarah-pensyarahku tentang kegunaan
persamaan-persamaan ini tetapi aku mampu mengaitkan semua itu dari sisi lain
yang langsung tak punya pengiraan kalkulator, sebaliknya lebih pada pengiraan
hati dan akal dalam menafsir persekitaran.
Aku andaikan kegilaan pada
akal aku berpunca dari Hazrul. Tapi dia bertegas menyatakan yang aku memang di
lahirkan untuk menjadi seorang pemikir sepertinya. Sepatutnya aku mengambil
pengkhususan kesusasteraan berbanding kejuruteraan. Aku tak pernah tahu apa yang
aku inginkan dalam hidupku. Selama ini aku belajar kerana aku merasakan itu
sebahagian dari tangungjawabku terhadap ibubapa ku. Malah, abah yang menyuruh
aku memilih jurusan ini sewaktu aku mula-mula mengisi borang melanjutkan
pengajian di peringkat sarjana muda.
"Sehingga kini aku
percaya bahawasanya ada keberkatan pada setiap perkara yang aku lakukan
demi memuaskan kehendakl orang tua ku", begitu penjelasan yang
aku berikan pada Hazrul bila dia menanyakan tentang hal ini sewaktu
kami berbicara melalui yahoo masengger.
“Hati kau sendiri tak pernah membantah kemahuan
mereka?”, tanya Hazrul seakan tak berpuas hati dengan jawapanku
tadi.
“Kau sendiri sepatutnya maklum yang soal hati merupakan sesuatu
yang subjektif. Kalau hati aku menolak tak bererti hal itu salah dan kalau hati
aku menerima nya, tak bererti ia suatu hal yang benar bukan?”, jawabku
pantas menjawab pertanyaannya.
“Kau tak punya pendirian sendiri.
Menurut kemahuan orang tua mu tanpa bertanyakan kehendak hati mu sendiri”,
tukas Hazrul.
“ Haz, itulah pendirian aku. Apa yang orang tua ku fikir
terbaik buatku, itulah yang hati aku percaya. Salahkah kalau aku mahu berpegang
pada prinsip itu?. Apa selama ini kau tak pernah mengikut kehendak ibubapa
mu? ” ,aku menyoalnya pula.
Dia membisu buat beberapa ketika sebelum
memberitahu yang dia perlu tidur kerana ada urusan penting awal pagi esok. Aku
tak punya sebab untuk membantah alasannya ini kerana aku sedar perbezaan waktu
7jam antara Malaysia dan Sepanyol di musim sejuk. Pekerjaannya selaku jurukamera
bebas membuatkan waktu kerjanya tidak tetap seperti orang bekerja pejabat. Waktu
kerjanya lebih fleksibel dan lebih bergantung pada tawaran yang diterimanya.
Biasanya hasil kerja Hazrul lebih tertumpu kepada gambar-gambar pemandangan
untuk slot iklan di papan-papan billboard.
Soalanku tergantung buat
beberapa ketika dan aku juga tak mau membangkitkan hal itu sehinggalah suatu
waktu dimana Hazrul sendiri berniat untuk menjawabnya. “Ayahku mencurangi
ibu. Arghhh, sebetulnya perkataan mencurangi itu tidak tepat kerana dia menikahi
perempuan itu secara sah. Cuma ibu merasa ayah mencurangi nya kerana hal ini di
lakukan di luar pengetahuan ibu ”.
Aku tergamam seketika, tidak tahu
apa perkataan yang sesuai untuk membalas bicara Hazrul itu. Kebisuan aku memberi
ruang pada Hazrul untuk terus menaip.
“Waktu itu aku masih kecil.
Pertengkaran demi pertengkaran antara ibubapaku menyesakkan otakku. Aku akan
mencapai basikal BMX ku, mengayuh selaju mungkin ke lorong kecil di belakang
rumah, sehingga tiba di sebuah pokok ketapang yang sangat rimbun. Aku akan
berteduh di bawah rimbunan daun-daun itu, menulis apa saja keperitan yang aku
rasai waktu itu. Usai menulis, aku akan mengorek lubang kecil dan menanam
luahan itu di dalam lubang, dengan harapan segala kepedihan yang aku rasai akan
lenyap di telan tanah lembut di depan pohon besar itu. Sejak itu aku
memutuskan bahawa apa jua yang aku lakukan dalam hidupku, aku tidak perlukan
pandangan orang lain kerana aku punya tanah lembut di pohon ketapang itu untuk
aku kuburkan kesilapan-kesilapan yang mungkin akan aku lakukan.”, jelasnya
panjang lebar.
“Sekarang aku tahu dari mana kau beroleh kebolehan
melihat, menafsir dan merasa objek-objek di sekelilingmu dengan hati.Keperitan
itu menjadikan kau insan yang hebat Haz”.
“Aku tak merasa yang aku
hebat Hana. Aku sekadar mahu meluah apa yang aku rasa kerana memendam
semuanya akan membuatkan aku menjadi manusia berhati batu. Keras tapi
kosong, betapa kekosongan sebenarnya boleh membunuh hati, jadi aku lebih rela
memilih untuk mengharungi keperitan-keperitan itu supaya akhirnya aku akan
menghargai secebis kenangan manis. Aku insan yang aneh tapi keanehan itu kau
anggap sebagai personaliti yang menarik untuk membuatkan kau terus berhubung
dengan aku, betul kan?”, gurau Hazrul bagi menutup mood syahdu yang sedang
menyelubungi perbualan kami.
-------------------------------------------------------
Semakin
lama aku berhubungan dengan Hazrul, semakin aku hanyut dalam persoalan untuk
lebih memahami hatiku. Suatu hal yang tak pernah aku tekankan selama ini.
Kadang-kadang aku seperti terdengar suara halus yang membisikkan bahawa
prinsipku untuk menuruti segala kehendak orang tua ku selama ini seakan suatu
keputusan yang kurang tepat bagi hidupku. Tapi pantas pula akalku menyingkirkan
suara itu jauh-jauh dari hati. Melihatkan pencapaianku dalam hidupku sehingga ke
tahap ini, nyata sekali keputusan mereka belum boleh dikatakan silap. Aku
tidaklah begitu cemerlang dalam hidupku tapi boleh di kira berjaya berbanding
teman-teman sekolahku yang lain. Akalku meyakinkan aku bahawa prinsip yang aku
junjung selama ini memang berasas.
Semakin menghampiri penghujung
waktu pengajianku di kota Madrid ini, aku lebih banyak menghabiskan masa bersama
teman-teman untuk menjelajahi tempat-tempat menarik. Kami sempat menonton ‘bull
fighting’ di plaza de toros. Sejenis tradisi yang amat di gemari
penduduk-penduduk Spain, melihat bagaimana hebatnya matador yang berdiri megah
di tengah gelanggang kerana dapat membunuh lembu gila yang sudah lemah kerana
pening selepas di ajak menggila di kiri dan kanan gelanggang.
Bila
aku kirimkan gambar-gambar matador membunuh lembu kepada Hazrul, dia memilih
sekeping gambar untuk laman blognya. Gambar itu terpapar perbuatan si
matador yang sedang mencucuk pedang, tepat ke atas kepala lembu itu dan
menyelitkan nukilan, “Ketidak adilan sedang berlaku. Begitu ramai yang
menontonnya, begitu ramai juga yang menikmati ketidak adilan itu dengan gembira
dan begitu sedikit yang dapat merasa ketidakadilan itu wujud….namun yang sedikit
itu juga hanya mampu melihat tanpa mampu menentangnya”.
-------------------------------------------------------
Usai
majlis graduasiku di kota Madrid, aku pulang ke tanah air dengan transkript
yang menyatakan aku sudah memperolehi ‘Double Master in Aeronautical
Engineering’. Kesibukan memulakan tugas selaku pensyarah membataskan masa
luangku. Aku memutuskan untuk berjumpa Hazrul buat pertama kali, bebrapa bulan
selepas itu di Teluk Batik. Kami duduk di atas pasir pantai, mengarahkan
pandangan pada air laut yang biru dan penuh mendamaikan.
“Haz,
seringkali aku merasakan langit ini akan menghempapku, bumi pun seakan semakin
bergerak ke atas untuk mencuba bagi menyesakkan aku. Terkadang aku jua merasa
seperti sekeping telur di celah roti sandwich. Terhimpit, terkepit, perit
dan sesak seakan semua mengcengkam menjadi satu dan kini dari telur mata kerbau
di celah roti sandwich, aku sudah bertukar menjadi ‘scrambled egg’, hancur lumat
di saluti mayonis”, aku melontar bicara sambil mataku merenung laut yang
terdampar di depan kami.
“Hana, aku faham ada sesuatu yang sedang
memenuhi kotak fikiranmu tapi aku tak mampu menurasnya lagi. Boleh kau jelaskan
lagi?”, Hazrul menyoal sambil tangannya menguis-nguis pasir pantai dengan
ranting kayu di tangannya.
Aku menarik nafas panjang-panjang sebelum
mengalih kedudukanku sedikit untuk memudahkan Hazrul melihat ekpresi wajahku.
“Abah menyampaikan perkhabaran yang aku sudah di pinang orang.
Selepas itu, apa yang aku dengar dari mak, segala nya sudah di uruskan.
Mak turut meluahkan kata-kata penuh keyakinan yang lelaki ini mampu memahami
aku dan mampu membahagiakan hidup aku”, berat bicara itu meluncur dari
bibirku dan kolam mataku serasa panas bergenang air mata.
“Hana, cuba
kau lihat batu,pasir dan ombak di pantai ini”, tangannya mengunjur kearah
objek-objek tersebut. Aku mendongakkan pandanganku, menuruti telunjuk
tangannya. “Aku ibarat pasir pantai ini, dan kau ibarat ombaknya.
Hujan, panas, ribut atau taufan, pantai akan tetap setia menunggu ombak
menghempasnya, setia teguh menunggu di situ kerana pantai yakin ombak tetap
hadir. Orang tua mu ibarat batu-batu itu, membuatkan alunan ombak menjadi
termusnah sebelum ombak sempat mengunjungi pasirnya.”, seperti biasa Hazrul
akan mengaitkan persekitaran dalam bicaranya.
“Aku tak punya hak dalam
hati dan hidup kau.Tapi aku yakin kau dah cukup memahami apa yang kita
bincangkan selama ini tentang hati dan keperitan yang akan di lalui oleh sang
hati dalam proses kehidupan. Buatlah keputusan kali ini berdasarkan kata
hati mu. Apapun keputusan yang kau ambil, aku tetap disini, setia teguh
untuk tidak akan memusnahkanmu”,Hazrul menyambung bicara sebelum bingkas
bangun, tersenyum memandangku dan dengan perlahan berlalu pergi dari sisi aku.
-------------------------------------------------------
“Penantian
suatu siksa yang tidak tertanggung oleh tubuhku yang kering dan layu. Kepastian
suatu penawar dalam suka dan duka yang meniti hidupku.”, suara suamiku
menyanyikan lagu Penantian dendangan kumpulan Harmoni kedengara sayup-sayup dari
arah bilik mandi.
Aku tersenyum sambil merenung gambar perkahwinan
kami. Aku punya banyak sebab untuk tersenyum kerana hal yang berlaku tika dan
detik ini, tak perlu membuatkan hati terasa perit dan dalam masa yang sama
mengekalkan prinsip yang selama ini aku pertahankan. Aku berkahwin dengan insan
pilihan orang tua ku yang juga dalam masa yang sama, insan pilihan
hatiku….Hazrul si pasir pantai!
Karya oleh : ~ Chomeyl ~
GO TO TOP
PAGE
--------------------------------------------------------------------

Gadis di sudut itu
Pertemuan pertama di Art Case Gallery masih segar di ingatannya. Mataku
terpana memerhatikan gerak geri gadis itu, gemalai langkahnya tersusun satu
persatu. Aku pasti yang aku tak pernah melihat gadis ini berkunjung ke
mana-mana galeri lukisan lain mahupun galeri milik Raja Azhar Idris, pelukis
terkenal di Malaysia ini.
Gerak gerinya juga nampak agak canggung, “Barangkali
ini kali pertama dia mengunjungi galeri lukisan”, otakku meneka sendirian. Aku
mengorak langkah, menghampirinya yang masih asyik merenung lukisan di depannya.
“Maaf mengganggu, tapi apa yang kau nampak dari lukisan ini?”, aku
memulakan bicara, menanti reaksi darinya. Matanya masih menatap lukisan bertajuk ‘Beware’ tanpa menoleh ke
arahku. “Ehem..ehem”, aku mencuba lagi mengalih perhatiannya. Kiranya
percubaan kali kedua ku berjaya...
“Saya tak pandai mentafsir lukisan sebab saya bukan pengkritik seni
ataupun pengumpul karya lukisan. Tapi saya tahu ada banyak cerita tersirat di sebalik lukisan ini.
Banyak persoalan muncul, erm..contohnya apa pakcik tu buat kat taman
permainan..kenapa selipar budak ni tinggal sebelah je?” …aduh, panjang
bicaranya, lancar bibirnya berkata-kata, namun matanya masih belum singgah ke
wajahku.
“Kau peminat Abdul Latif Maulan?” tanya ku lagi.
“Siapa?” soalnya
kembali.
“Pelukis untuk lukisan-lukisan yang kau tengok di pameran hari ni”
aku menjawab, nada suara ku sedikit jengkel kerana agak sensitif apabila
pelukis pujaanku seperti diperlekehkan oleh gadis ini.
Dia menoleh sejenak ke arahku lalu matanya menatap risalah di
tangannya yang tertulis‚ ’ABDUL LATIF MAULAN: PARALLEL UNIVERSE ~ FIRST SOLO
EXHIBITON 7 June 2006 -16 July 2006’, setelah terarah oleh jari telunjukku.
“Oh, sebenarnya housemate saya yang hadiahkan tiket ini sebagai
hadiah hari lahir, sebab tu saya datang. Saya kena berterima kasih dengan dia,
hadiah ini mungkin hadiah paling tak ternilai dalam hidup saya”, luahnya jujur.
Aku merasakan kejujuran itu terpancar dari wajah kudusnya. Wajahnya tidak secantik Erra Fazira, bicaranya tidak selembut Siti
Nurhaliza, suaranya juga tidak semanja Ella, tapi ada aura pada dirinya menarik
aku untuk lebih mengenalinya. Dia melangkah pula ke lukisan ’Silhoutee Journey’, lama dia merenung
lukisan itu. Aku tak berniat mengganggunya lalu aku mengambil keputusan
berdiam,memberinya masa menilai karya itu. Bergenang kelopak matanya, cepat-cepat dia menyapu setitis air mata
yang mengalir di pipinya apabila tersedar yang aku masih di sebelahnya.
“Ini lukisan tentang kes realiti yang pernah jadi dulu kan?” tanyanya
merujuk kepadaku. Aku mengangguk setuju. Paparan seorang wanita berseorangan di dalam bas, dan bayang-bayang
hitam di bahagian tempat duduk belakang seperti sedang merenungnya tajam. Satu keluhan panjang kedengaran,“tak baik mengeluh“,aku menegurnya.
Kekaguman terbit lagi dari hatiku.? Bukan calang-calang orang mampu mentafsir karya ini kerana karya
Abdul Latif Maulan biasanya dikaitkan dengan sesuatu tersembunyi di sebalik
yang nyata di mata.
Dia tersenyum manis, menampakkan lesung pipit di pipi kirinya. Sungguh aku tak pernah merasakan tarikan sebegini, malah gerakan
jari jemarinya membetulkan tudung di kepalanya pun nampak indah di mataku
sehingga aku merasakan seperti mendengar alunan suara Ray Charles menyanyikan
lagu What A Wonderful World.
Mabukkah aku hasil air setan yang aku teguk malam tadi?. “Gadis ini
biasa saja, tiada yang menarik lalu mengapa aku mengaguminya?”, suara hatiku
bermonolog sendiri.
Aku mencuri pandang lagi pada wajahnya, kulitnya putih kuning,
hidungnya tidak mancung tapi tidak juga penyek, badannya tidak kurus tapi tidak
juga gemuk, penampilannya tidak terlalu bergaya tapi tidak juga terlalu
kekampungan...mungkin kesederhanaannya yang memikat. Aku memejam mata, cuba memahat wajahnya dan gayanya kukuh di
ingatanku, agar dapat aku abadikan ke layar kanvas selepas ini.
Aku membuka mata, dan dia telah tiada di depanku. Cepat-cepat aku
berlari mencarinya sehinggakan aku hampir terlanggar Shahimah, isteri pemilik
galeri ini. Tak mungkin sepantas itu dia hilang. Akhirnya aku terpandang gadis itu di satu penjuru galeri, sedang
menjawab telefon. Barangkali tidak mahu mengganggu tumpuan pengunjung lain lalu dia
memilih penjuru sunyi itu. Ku potretkan detik itu di mindaku, mencurah-curah ilham untuk
mengabadikan gerak geri gadis ini. Usai menjawab panggilan itu, dia bergerak
terus ke pintu keluar. Aku berlari lagi,mengejarnya yang semakin jauh dari pandangan.
Aku menarik tangan kirinya sebelum dia melintas jalanraya, dia
menoleh pantas dan tangan kanannya juga pantas menampar pipiku. Berpijar dan panas aku rasakan..rasa pekak sekejap gegendang
telingaku, mengalir darah merah di penjuru bibirku. Wajahnya serba salah sebaik dia sedar niatku untuk mengelakkan dia
dari menjadi mangsa ragut lelaki bermotosikal yang hampir-hampir berjaya
meragut tas tangannya.
Lelaki jahanam itu pantas memecut laju, menyelit di antara deruan
kenderaan lain yang bertali arus. “Takpe, aku ok’, aku bersuara cuba meredakan
kegusarannya.
“Maaf awak, saya tak perasan, saya ingat orang yang berniat jahat
tadi’, jawabnya yang barangkali masih terbawa-bawa dengan bebanan perasaan dari
lukisan Silhoutee Journey tadi. Aku menyambut huluran tisu dari tangannya, terpandang jari
jemarinya, “erm...takde cincin lagi“, gumamku sendirian.
“Apa?”, tanyanya.
“Erm..kenapa kau nak cepat-cepat balik?. Banyak lagi karya yang kau
tak tengok” aku menyoal tanpa menjawab soalannya tadi.
“Saya ada hal sikit, tapi saya akan datang lagi bila ada masa.
Lagipun pameran ni sampai hujung minggu depan kan? Insya Allah, panjang umur,
ada kelapangan saya akan datang lagi”, jawabnya sopan dan dia mengatur langkah
ke tempat letak kereta.
Dia menoleh sekilas ke arahku, “terima kasih banyak-banyak”,
ucapnya lalu melangkah terus dan hilang dari pandangan mataku.
Aku masih terpaku di situ, terpesona dengan gerak gerinya
sehinggalah aku tersedar dari lamunan bila bahuku ditepuk pensyarahku Suzlee
Ibrahim.
Beliau merupakan insan yang pernah bertanggungjawab membentuk
bakatku sewaktu masih menuntut di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM.
“Dah habis mengkaji lukisan Latif ataupun Ayie dah dapat ilham
untuk pameran solo sendiri pulak?” tanyanya seperti dapat menuras isi hati ku
ketika itu.
Aku sengih sambil melangkah kembali ke dalam galeri, aku mau
berlama-lama di sana, mengorek seberapa banyak ilmu yang mungkin aku boleh
dapatkan dari pelukis-pelukis hebat lain.
Minggu ini aku habiskan masa di galeri ini, menikmati dan menelaah
hasil karya pelukis kontemporari yang aku kagumi.
Aku melukis apa yang aku lihat, aku tak mampu menjadi pemikir yang
tersirat seperti Latif yang mampu merakam dua warkah berbeza dalam setiap
karyanya, tapi aku punya sedikit anugerah kurniaan Yang Esa, lalu aku gunakan
untuk menyuarakan isi hatiku dengan coretan warna dan palitan garisan membentuk
wajah di atas kanvas.
Kalau orang seusia aku mengagumi bakat Mawi, Yusry, Adam,
Sofaz,Kristal ...rasanya aku lebih mengagumi bakat Yusof Ghani, Prof. Datuk
Raja Zahabuddin Raja Yaacob, Raja Azhar Idris, Muid Latif, Ahmad Shukri Elias,
Prof. Madya Ramlan Abdullah, Intan Rafiza, Khalil Ibrahim, Ismail Latif dan
ramai lagi pelukis-pelukis Malaysia yang hebat.
Karyaku lebih tertumpu kepada kehidupan kotaraya seperti ’my mom
and I’(sepasang ibu dan anak membeli belah), ’how do he got it?’( lelaki muda
berkereta mewah), ’60’s sibling’(sekumpulan adik beradik pencinta lagu 60-an
sedang bermain gitar),’anak ikan’ (gelagat gadis muda di temani lelaki tua) dan
’gothic or ska or punk or i’m confused?’(kerenah belia sekarang dalam
berfesyen) antara lukisan-lukisan yang pernah aku hasilkan.
Aku duduk di penjuru dinding yang pernah gadis itu berdiri.
Cuba mengutip kembali sedetik memori itu, jariku pantas melakar
nukilan itu di kertas putih ditanganku.
Balik rumah nanti akan ku pindahkan lakaran awal ini ke kanvas
besar.
Aku ke galeri ini saban hari, masih menunggunya dengan harapan,
kadang-kadang terasa diri ini dungu, tak mampu bertanya nama nya.
Hari ini hari terakhir pameran ini.
Aku sudah menyiapkan sepuluh keping lakaran gadis itu di berbagai
sudut galeri ini, lakaran gadis itu di jalanraya, lakaran tamparannya di
pipiku, senyuman manisnya..aduh,aku diserang angau. Menanti sesuatu yang tak
pasti, namun sekurang-kurangnya aku mampu berkarya kembali.
Karya terakhir yang aku hasilkan sebulan lalu masih mampu
menanggung hidup bujangku.
Aku terkesima, diakah itu?
Baju kurung biru bermotif bunga-bunga kecil menyerlahkan
keayuannya.
Jari
ku pantas lagi melakar dan memotret gerak gerinya. Aku
membiarkan dia menikmati lukisan-lukisan ’Open For
Business’, ‘Toxic Waste’,
‘Forest Reserved’, ‘Belakang’, ‘Ulam
Mencari Sambal’, ‘Fantasy Dream’ dan ‘One
Way’ karya-karya Abd Latif Maulan.
Kali ini aku tak berniat mengganggu tumpuannya, walhal aku jua
semakin asyik melakar gerak gerinya. Hampir 10 lakaran dirinya mampu aku
hasilkan secara goresan biasa selama dua jam dia di galeri ini.
Aku cepat-cepat memasukkan kertas-kertas ini ke beg ’mortar’ku.
Dia menyedari kehadiranku selepas selesai tawafnya mengelilingi
galeri itu.
“So, macamana?“.
Berkerut sedikit dahinya mendengar soalanku, tapi pantas juga dia
mengerti bila aku mengarahkan mata ku ke arah lukisan-lukisan itu.
“Amazing artwork, lukisan yang kemas, penggunaan warna yang
menekankan penceritaan, ringkas tapi penuh bermakna.
Ibarat membaca yang tersembunyi dalam hidup di kotaraya ini. Perlu
banyak berfikir, tapi maksudnya memang sampai terus ke hati“, jawabnya penuh
keyakinan.
“Kau ni belajar seni atau sastera ke?”,berkerut lagi dahinya
sebelum bibirnya mengorak senyuman.
“Saya pernah belajar aeronautical engineering dan sekarang saya
jadi pensyarah dalam bidang yang sama. Salahkah orang tak de pendidikan seni
sama-sama menikmati keindahan ini?“,tukasnya lalu memandangku menunggu jawapan.
Aku memang jenis manusia yang tak suka menjawab soalan,lalu
kubiarkan soalannya tergantung dan menyoal lagi, „“Ada ke aku cakap salah? Apa
yang patut aku tahu tentang keindahan aeronautical engineering kau tu?. Terus
terang aku tak pernah dengar pasal benda-benda ni. Kau boleh bawak kapal
terbang ke?”.
Dia ketawa kecil, masih bersabar dengan kerenah aku yang banyak
bertanya dari menjawab.
“Saya belajar tentang rekabentuk kapal terbang, kelakuan kapal
terbang masa tengah terbang, aliran aerodynamik udara, sifat kelakuan bendalir,
kekuatan struktur bahan, menyelesaikan masalah secara sistematik, berapa
geseran udara yang manusia kena tempuhi untuk berdiri tegak...itulah
keindahannya“, jawapannya tegas dalam kelembutan.
“Aku tak nampak apa yang indah pun dalam apa yang kau ceritakan
tu“, aku membangkang pendapatnya sekadar untuk mengheret dia dalam perbualan
yang lebih panjang.
“Kapal terbang kena ikut graf penerbangan yang di hadkan oleh
batasan-batasan tertentu contohnya had kuasa engin, had daya angkat(lift), had
suhu, had tekanan kabin, had tekanan dinamik dan had ketahanan struktur.
Semua ni berkait dengan hidup juga, sebab setiap sesuatu dalam
hidup ini ada batasannya dan peraturan yang telah ditetapkan untuk kita patuhi,
tak kira kita suka atau tak.“, jawapannya kali ini membuat aku terkedu.
Betapa selama ini aku terleka dalam dunia ku sendiri. Terbayang di
ruang mataku solatku yang terabai kerana asyik dengan layar kanvasku, berkurung
seharian di studio, berjoli di kelab malam dengan hasil jualan lukisanku malah
tanpa sedar aku melupakan had batasan yang telah ditetapkan dalam diri seorang
muslim sepertiku.
Aku sepatutnya mencontohi Dr. Sulaiman Esa yang merupakan pelukis
Malaysia yang mempelopori seni lukisan kontemporari Islam dan sentiasa
menyelitkan sedikit pendidikan dan pengajaran berguna dalam karyanya.
“Zahri Asyaari, saya memiliki salah satu karya lukisan awak.
Saya memang mengagumi hasil kerja awak, dan saya yakin awak akan
berjaya macam pelukis-pelukis terkenal lain.
Barangkali lebih tersohor dari Van Goh, Da Vinci, Lippi ataupun Del
Verrochio.
Carilah ketenangan dalam hati awak bukan di tempat lain.
Ketenangan itu akan membantu awak berkarya.“, tenang bicaranya
satu-satu menusuk telingaku tembus terus ke jantungku.
Kali ini aku terdiam, tiada lagi soalan di benakku, huluran sampul
merah jambu dari tangannya aku sambut. Dia berlalu pergi selepas memberi salam,
meninggalkan aku tegak berdiri di sudut penjuru galeri itu.
Sudut yang sama aku memehatikannya dulu, sudut yang sama aku
melakar wajahnya dan sudut yang sama ini juga lah hatiku pecah berderai.
Aku meneliti muka depan kad itu, tertera gambar gadis itu di
penjuru kanan dan di penjuru kiri gambar seorang lelaki yang seperti ku kenali.
Kata-kata di bahagian dalam merentap jantungku, ’Undangan ke majlis
kesyukuran perkahwinan puteri kami Nur Cherrina Emilyia yang bertemu jodoh
dengan Akmal Syukry’.
Akhirnya aku teringat, lelaki ini lah salah seorang dari pemain
gitar dalam lukisan ’60’s siblings’ yang pernah aku hasilkan dulu.
Aku ingat lagi lelaki ini dan adik-adiknya berhenti memainkan alat
muzik apabila azan berkumandang, menunaikan kewajipan solat bersama adik-adiknya.
Masih jelas juga lagi di ingatanku aku menolak ajakannya berjemaah dengan
alasan pakaianku kotor dengan warna cat,dan dengan berhemah di hulurkan pakaian
bersih buatku.
Hari itu aku solat selepas sekian lama tidak sujud kepadaNya....
“Jika ku tanya padamu manakah arah kiblatmu,apakah jawapanmu sama
denganku? Satu rumpun budaya,satu akar bahasa, satu soalan nak ku tanya, adakah
kita punya satu suara?“, lagu Satu Suara nyanyian Rausyanfikir yang
berkumandang di Radio Tm FM mengembalikan aku ke alam nyata dan menghentikan
lamunanku pada peristiwa tahun lalu.
Benarlah kata orang, insan seni jiwanya halus, mudah terasa, mudah
juga terluka.
Aku terluka kerana terlebih menyimpan rasa buat gadis itu, tapi aku
juga terasa bahawasanya dia muncul untuk menyedarkan aku dari lena ku yang
dulu.
Esok aku akan mengadakan pameran lukisan solo ku : ZAHRI ASYAARI ~
SINAR DALAM GELITA.
Kali ini aku muncul dengan lukisan lakaran kasih sayang dalam
kehidupan dan lukisan ’gadis di sudut itu’ bakal menjadi lukisan utama untuk
majlis perasmian.
Sesuatu yang pasti, aku sudah mengirimkan undangan istimewa buat
pasangan Akmal Syaary & Nur Cherrina Emilyia!
Karya : ~ Chomeyl ~
GO TO TOP
PAGE
--------------------------------------------------------------------
|