|
Hati seorang lelaki
Oleh : Razzi Rahman
info@razzirahman.com
Pernah
satu ketika dahulu aku begitu mengharapkan sebuah percintaan yang
sejujurnya dari seorang insan bergelar hawa. Mungkin kerana diri yang
begitu yakin akan menemui impian ku itu, aku tidak pernah terfikir
untuk gagal dalam cinta. Mana bisa kecundang…aku seorang yang
amat baik hati, suka membantu, suka memberi hadiah, penyayang, begitu
mengambil berat kepada dia yang aku sayangi… merindu adalah satu
sifat ku…dan akan ku kejar cinta itu selama-lamanya.
Bagi hati lelaki ku ini, pendirian ku adalah pendirian hawa jua. Jika
aku jujur, ikhlas menyayanginya, sudah pasti dia begitu. Sememangnya
sehingga kini aku masih berpendapat begitu. Mengapa harus curang
sekiranya lelaki ini begitu baik, begitu sayangkannya…
Tetapi seperti ramai yang mengenali diri ini, sesungguhnya aku selalu
gagal, malah gagal dan gagal lagi. Namun, dalam masa yang sama aku juga
pernah mengecapi rasa dicintai, disayangi, dirindui sebagaimana aku jua
mencurahkan segala-gala rasa ku kepada hawa. Lalu, aku tidak pernah
mahu putus asa untuk terus memburu cinta yang kuidamkan.
Apa aku bisa menggapainya?...aku sendiri tidak pernah tahu.
Apakah dengan lagak ku yang perkasa, aku tidak bisa terkecewa? Apakah
langkah tegap ku maka aku bisa menerowong gunung? Apakah dengan
ayat-ayat cinta, tutur yang berbisa, suara yang lunak maka aku bagai
Malaikat yang terbang dengan beribu-ribu sayap di badannya?
Kekecewaan dalam percintaan ku sudah bagai madu dan racun, manis dan
kelat. Ya! Aku juga sama seperti hawa. Mungkin aku kelihatan begitu
tabah, aku mungkin tampak segak bergaya dan bagai berani merempuh
gelung api yang sentiasa cuba menyambar ku, menyelubungi rentak tari
ku…tetapi jauh di sudut hati lelaki ku ini…aku juga
lemah, aku juga pernah tersandung ke tanah, menangis seperti anak kecil
yang hilang ibu dan ayah…
Aku bisa berkata, jangan itu dan ini, aku juga menjadi penunjuk cara
itu dan ini…namun, ianya cukup mudah untuk dilafazkan, teramat
perit untuk dilaksanakan…tapi, bukankah sudah tiada jalan lain
melainkan menempuh kesukaran itu untuk berjaya mengecapi cinta yang
didamba? Sebagai seorang lelaki…aku akur dengan hawa yang selalu
mengatakan, “Susah, susah, susah!”…aku akur kerana
aku juga memahami apa yang mereka rasa, kerana hati lelaki ku jua
merasa seperti apa yang mereka rasa…Walau aku begitu ingin
melihat ramai diantara mereka yang mencari kepastian dari ku, agar
berjaya di akhirnya.
Tapi apakan daya ku, jika mereka sendiri mahu mengalah sebelum bertarung. Aku hanya dapat berdoa,
“Ya
Allah ya Tuhan ku…limpahkanlah kurnia mu agar semua hawa di
dunia ini akan mendapat kebahagiaan dunia dan
akhirat…Amin!”
Article by :
Razzi Rahman @ Brother Love
www.razzirahman.com
|