|
Ku Mohon
Oleh : Alya Saffiyah
alya_1801@yahoo.com
Januari 2008,Pahang
Kamar hatiku, sekian lama
Suram dan sepi, kekosongan
Aku mencari insan sejati
Untuk menemani hidupku
Adam dan Hawa diciptakanNya
Disemai rasa kasih sayang
Agar bersemi ketenangan
Dan kedamaian di hati
Ku harap hanya keikhlasan
Dan ku rindukan keramahan
Aku inginkan kemesraan
Berkekalan berpanjangan
Mengasihimu, dikasihi
Menyayangimu, disayangi
Merindui dan dirindui
Saling mengerti di hati
Biar hilang kabus di wajahku
Biar tenang resah di dadaku
Terimalah serta kabulkan harapan ini
Oh Tuhan
Ku melafazkan kata penuh makna
Bersaksi Tuhan yang Maha Pemurah
Hidup mati jodoh pertemuan
Ditentu Allah yang Esa
Perkenankan hasrat di hatiku
Moga impian kan dirahmati
Dipertemukan serikandi
Susah dan senang sama harungi
Demi cinta yang hakiki
Oh...
Bait-bait lirik dari lagu dendangan kumpulan inteam membuatku hilang
fokus untuk menyemak buku-buku pelajarku. Sungguh indah lagu ini..dan
yang pasti itulah yang kuhadapi kini. Hidupku sunyi tanpa insan yang
kusayang disisi walaupun rutin harianku sibuk dengan pelbagai aktiviti
sekolah. Pandanganku kulayangkan ke luar tingkap yang terbuka luas.
Sesekali kelihatan motosikal meredah malam yang sunyi dengan sorotan
lampu yang kelam dihadapan rumah sewaku. Angin malam mengelus lembut
rambutku.
Hai angin….
Indahnya jika kau membawa khabar gembira
Membawa khabar cintaku yang entah dimana
Memberitahu setianya dia padaku
Kasihnya,cintanya dan rindunya untukku
Begitu juga denganku..wahai angin
Bawalah seluruh cintaku padanya
Agar dia tahu..aku cinta padanya.
Terukir senyuman dibibirku,tatkala hati ini berpuitis. Terer juga aku
bermadah pujangga malam-malam nih. Nasib baik dalam hati jek,kalau aku
bersuara, sure Amran gelakkan aku. Aku menoleh ke arah ruang tamu,
kelihatan Amran sedang asyik menonton Buletin Utama sambil mengunyah
keropok ikan yang baru aku goreng petang tadi. Aik! Pulun sorang-sorang
nampaknya mamat nih. Tak ingat orang belakang langsung. Aku
menggelengkan kepala. Buku-buku latihan matematik yang perlu ku semak
dan tanda kupandang sepi. Iskh! Makin dilayan perasaan ni,makin hati
aku tak keruan. Aku menyambung kembali tugasku.
Disember 2006,Selangor
“
Mak kata mak tak suka budak tu..mak tak suka! Kalo kau teruskan
hubungan dengan dia kau jangan balik rumah ni lagi. Jangan anggap aku
ni mak kamu! Jangan anggap kami ni keluarga kamu.” Keras sekali
amaran mak. Aku lihat macam itu bukan mak. Sanggup mak kata macam tu.
Sanggup mak nak putuskan hubungan kekeluargaan.
“ Mak..apa salahnya Leeya mak? Mak cubalah kenal dia. Dia bukan yang mak sangka..”
“ Tengok!
Belum apa-apa lagi kau dah bela budak tu. Sampai pendapat mak pun kau
dah tak endah dah. Apa agaknya dia dah bomohkan kau tu.”
“ Mak!
Leeya bukan macam tu mak. Cuba mak jangan bersangka buruk pada dia. Apa
kurangnya dia tu?” Turun naik nafasku menahan marah yang
bersarang dihati. Sanggup mak kata Leeya macam tu. Aku lihat mak
terduduk di sofa. Wajahnya yang lembut bertukar garang. Benci benar mak
pada Leeya.
“ Pasal
budak tu kau sanggup tinggikan suara kau pada mak Akhil. Kau tahu tak,
itu dah derhaka namanya. Mak tak suka dengan budak yang berlagak tu.
Dah lah tak sopan.” Kepalaku pening memikirkannya. Alasan itu
yang mak ulang-ulangkan selepas berjumpa dengan Leeya dua hari lepas.
Hanya silap sedikit sahaja mak sudah anggap perkara itu besar.
Berlagakkah Leeya jika memceritakan tentang keluarganya agar mak kenal
latar belakangnya? Salah besarkah kalau Leeya membalas sms semasa
berbual-bual dengan mak? Aku tahu itu satu kesilapan. Tapi mengapa
Leeya dibenci sangat-sangat? Argh! Hati orang tua betul-betul sensitif.
Kenal pun tak sampai satu hari,berbual pun tak sampai 15 minit. Tapi
mak sudah memberikan persepsi yang negatif pada Leeya. Aku benar-benar
tersepit. Diluah mati mak,ditelan mati bapak. kedua-dua wanita ini aku
sayang. Ya,Allah..berikanlah hamba-MU ini kesabaran dan kekuatan.
“ Akhil
bukan nak derhaka dengan mak. Akhil hanya mintak restu dari mak sahaja.
Akhil sayang pada Leeya mak.” Air mataku bergenang,menunggu masa
untuk jatuh tatkala teringatkan wajah Leeya apabila aku memberitahu
perhubungan ini tidak direstui mak. Wajahnya tenang ketika itu,namun
air matanya tetap jatuh membasahi pipi.
“ Kalo kau
nak dengan budak tu..jangan ngaku kami ni keluarga. Putus hubungan. Mak
tak akan terima budak tu.” Aku memandang mak,wajahnya dipalingkan
mengadap ke arah lain. Aku kecewa dengan mak,kecewa! Aku capai kunci
kereta dan terus keluar dari rumah. Lagi lama aku duduk dalam
rumah,lagi sakit hati aku.
Januari 2008, Johor Bharu.
Bungkusan-bungkusan pakaian pelanggan
yang sudah siap dicuci kususun mengikut tarikh. Ramai juga pelanggan
yang datang hari ini. Majoriti yang datang adalah pelajar-pelajar UTM
dan juga orang bujang yang bekerja. Boleh dikatakan semuanya LELAKI!
Huh! Tak sangka,ramai juga yang malas nak basuh baju. Tapi bagus jugak,
ada income. Aku tersengih sendiri.
“ Hai..tersengih sorang-sorang nampak. Ada putera raja hantar
pakaian ker hari ni?” Kak Intan tersenyum sinis padaku.
“ Ermm..senyum pun tak boleh ker? Wah…katalog Avon baru ye
kak?” Aku capai dan menyelak sehelai demi sehelai katalog di atas
meja satu persatu yang dibawa oleh Kak Intan.. .
“ Aah..tadi akak singgah sekejap kat Avon, hantar order. Ada
katalog baru sampai, akak ambillah. Katalog Satinni pun akak ada ambil
tadi..tapi, Shida pinjam dulu.”
“ Akak ni pandai ambil peluang yek. Jadi agen Avon lah..Satinni lah..tokey dobi plak tu.” Kak Intan menghampiriku.
“ Sekarang ni,apa saja peluang yang boleh mendatangkan duit kita
kena ambil peluang tu. Tapi yang halal yek. Akak ni ibu tunggal Leeya,
banyak yang akak perlu tanggung. Bayar hutang sana sini. Tu..anak akak
yang tiga orang tu, semakin besar..semakin banyak duit yang perlu akak
keluarkan tau.” Aku tersenyum. Melihat Kak Intan, membuatkan aku
tabah menghadapi dan meneruskan hidup ini tanpa ‘insan’
tersayang. Kak Intan lebih perit dugaan yang perlu ditempuh berbanding
aku. Sekurang-kurangnya, aku ada mak ayah, kak long dan adik-adikku.
Kak Intan, tiada sesiapa. Berdikari di atas kudrat sendiri mencari
nafkah dan membesarkan anak-anak.
“ Saya faham kak..walaupun diberi masa seminit pun, peluang yang
ada mesti di ambil. Pengalaman akak, banyak memberi pengajaran kepada
saya.” Kak Intan ketawa kecil.
“ Sebab itu Allah temukan kita, untuk berkongsi rasa, untuk
menambah ilmu dan macam-macam lagilah. Betul tak?” Kami ketawa
bersama. “ ermm..bila iklan permohonan KPLI nak keluar?”
Kak Intan menyoal. Persoalan itu dibiarkan seketika apabila seorang
pelanggan datang. Aku mengambil resit dari pelanggan yang diserahkan
kepadaku. Ku mencari-cari bungkusan pakaian yang telah kususun tadi.
Ha..jumpa pun.
“ Ini dia, terima kasih…sila datang lagi.” Pelanggan
tersebut tersenyum dan beredar pergi. “ Tadi akak soal apa
yek” Aku bertanya kepada Kak Intan tentang soalannya tadi.
“ Permohonan masuk KPLI bila nak keluar? Leeya tak surf internet
ke pergi tengok. Mana tahu dah keluar.” Aku menjuihkan bibir.
“ Belum keluar lagi lah kak, bulan April selalunya baru open. Tak
tau lah, tahun ni lulus ke tidak kalo saya ambil lagi exam tu.
Soalannya boleh tahan susah. Ternganga sekejap lah nak menjawab soalan
tu.” Kak Intan ketawa terkekek-kekek melihat aku membuat memek
muka.
“ Dahla..akak nak nak ke belakang ni. Melayan kau, memang tak
buat kejer ler akak.” Aku tersengih mendengar kata-kata kak
Intan. Ku menyambung kembali kerjaku menyusun beberapa bungkus pakaian.
Bila diorang nak ambil pakaian diorang nih. Dah tak nak ker? Kalau tak
nak, boleh aku jual kat bundle. Kataku dalam hati.
“ Akhil!” Aku pantas menoleh ke arah suara itu pabila nama
itu disebut. “ Jangan lari..nanti jatuh.” Kelihatan seorang
kanak-kanak kecil berlari dan cuba didapatkan ibunya. Hatiku
terusik..ah! Rindunya aku pada nama itu. Sudah lama nama itu jarang
bermain difikiranku. Bagaimana abang sekarang? Bahagiakah dia? Sudah
bertemu penggantikah dia? Sebak dihati mulai penguasai perasaan.
Kenangan-kenangan suka dan duka bersama Akhil tergambar difikiran
bagaikan filem yang memutarkan cerita. Rindu mula bertandang dihati. Ku
beristigfar banyak-banyak agar hatiku rasa tenang. Ya Allah..kuatkanlah
semangatku ini, aku tak ingin menangis lagi..tak ingin.
“ Leeya. Akak balik dulu ya, Dina jatuh tangga. Nanti tolong
tutup kedai nih.” Aku tersentak apabila dipanggil Kak Intan. Tak
sempat aku bertanya, Kak Intan sudah pergi dengan tergesa-gesa.
Kelihatan Shida sedang membawa bakul yang berisi pakaian yang sudah
dicuci kehadapan.
“ Shida, kau tau tak anak Kak Intan jatuh tangga.” Aku menyampaikan berita itu kepada Shida.
“ Tau..tapi tak teruk sangat kot. Aku dengar tadi anak dia dah
dibawa ke klinik. Bibir jek yang pecah. Ala…budak-budak, tengah
nak meneroka..berlari sana sini. Diorang tahu seronok jek, mana tahu
takut. Seronokkan jadik kanak-kanak. Tahu happy jek..kita ni pikir
masalah jek. Satu masalah settle, datang lagi masalah lain. Kusut
kepala aku..” Masalah? Ermmm..memang hidup ni tidak terlepas dari
masalah. Kalau tiada masalah, tidak mencabar kehidupan ini rasanya.
Masalah jugalah punca segala kekuatan dalam diri. Ya, segala masalah
dan musibah yang datang kepadaku mengajarku menjadi seorang yang
tabah,sabar dan yang paling penting aku kini lebih dekat dengan-NYA.
Terukir senyuman dihujung bibirku. Aku melihat Shida masih lagi
bercoleh sambil menyidai pakaian. Apa yang dia colehkan tidak kuambil
kisah. Aku menggelengkan kepala. Minah nih, kalo tanya satu
soalan..berjela-jela jawapan yang diberikan macam karangan.
Kadang-kadang tu..merapu-rapu.
Mei 2008, Pahang
Kutenung kalender di hadapanku.
Cepatnya masa berlalu, dah bulan Mei rupanya. Nampaknya sudah setahun
lebih aku mengajar di sekolah ini. Mengajar di sekolah pendalaman
merupakan satu pengalaman yang baru bagi aku. Alhamdulillah, aku dapat
membiasakan hidup di sini walaupun serba kekurangan. Bunyi loceng
sekolah berbunyi menandakan waktu sekolah sudah tamat. Keadaan diluar
mula riuh dengan keadaan pelajar-pelajar yang berpusu-pusu keluar dari
kelas untuk pulang ke rumah. Bermacam-macam ragam yang dapat dilihat.
Kadang-kadang aku ketawa sendirian melihat gelagat mereka, lucu.
Seorang murid perempuan masuk ke bilik guru menuju ke arahku. Rambutnya
yang panjang diikat kemas, dengan beg warna pink tersandang elok
dibahunya. Comel. Getusku.
“ Assalammualaikum Cikgu.” Aku menjawab salam itu dan
tersenyum. “ Ni pen cikgu yang tertinggal kat kelas tadi. Cikgu
lupa nak amik.” Murid itu meletakkan pen tersebut diatas mejaku.
“ Oh…terima kasih. Cikgu terlupa lak. Cikgu susahkan Salwa
saja. Siapa ambil Salwa balik sekolah nih?” Aku bertanya. Salwa
tersenyum sehingga menampakkan lesung pipitnya dipipi. Tiba-tiba sahaja
fikiranku teringat pada Leeya.
“ Comel kan budak kecik tu bang?” Akhil memandang ke arah
budak yang ditunjukkan oleh Leeya. Dahi Akhil berkerut dan memandang
Leeya yang sedang asyik memandang keletah budak perempuan tersebut.
“ Pipi budak tu ada lesung pipit, cute sangat.” Akhil
tersenyum.
“ Nak ker?” Pantas Leeya menoleh ke arahku. Satu cubitan
kecil singgah dilenganku. Aku mengaduh sakit. Mak oi..dasyatnya minah
ni cubit. Kami ketawa bersama.
“ Akhil..Akhil!” Aku tersentak dan kelihatan Amran
dihadapanku. Mataku meliar mencari susuk tubuh kecil Salwa yang sudah
hilang dari pandangan. “ Kau cari siapa? Tak nak balik ker?
Ermm..dah sampai negara mana kau sampai?” Amran memerliku sambil
tersengih sumbing. Aku flying kick juga dia nih. Malas aku melayan
usikan Amran, nanti berlarutan sampai ke subuh esok pagi agaknya. Aku
memberikan kunci kereta kepadanya.
“ Kau drive lah..aku malas.” Amran mengambil kunci tersebut.
“ No problem boss…” Kami berdua berlalu meninggalkan
bilik guru yang sudah lenggang. Suasana di sekolah kembali tenang dan
sunyi. Ada juga beberapa staff sekolah yang masih lagi belum pulang.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
2008, Selangor
Segenap ruang bilik tidur itu diperhatikan oleh Puan
Arfah. Suram dan kemas. Tiada lagi muzik yang berkumandang di corong
radio milik Akhil. Tiada lagi pakaian kotor yang bersangkut di dinding
dan di dalam bakul tidak berbasuh. Tiada lagi gurau-senda di antara
mereka berdua. Kehidupan Puan Arfah terasa kosong dan sunyi. Walaupun
anak-anak yang lain dan suami tersayang sentiasa di sisi, hatinya tetap
rasa kehilangan. Puan Arfah duduk di penjuru katil, matanya tepat
memandang gambar keluarga tergantung kemas di dinding.
Salahkah aku untuk memberikan yang terbaik untuk Akhil?
Salahkah aku untuk melihat dia gembira? Berdosa besarkah aku hanya
menolak permintaannya yang satu itu? Berat sangatkah kehendakku yang
satu itu untuk Akhil penuhi? Pelbagai persoalan bermain dimindanya.
Wajahnya yang sayu dialihkan mengadap lantai. Apa agaknya Akhil sedang
buat sekarang. Sihatkah dia? Teruruskah makan minumnya? Panjang betul
rajuknya sampai dah setahun lebih Akhil tidak balik jenguk keluarga.
Mengapa buat mak macam ni Akhil? Mengapa? Setitis air mata jatuh ke
lantai. Hati tuanya mula dilanda sebak.
“ Apa lagi yang awak nangiskan tu Pah? Janganlah asyik bersedih
saja, nanti awak jatuh sakit.” Tegur suaminya yang sedang berdiri
di muka pintu bilik. Cepat-cepat Puan Arfah mengesat air matanya.
“ Akhil tu tak ke mana aje..dia akan pulang juga. Saya suruh awak
telefon dia, awak tak nak. Pujuklah dia kalau awak nak dia bersama-sama
dengan kita semula.” Kata suaminya.
“ Eh, saya pula yang kena telefon dia. Sepatutnya dia yang
telefon kita. Dah besar panjang, takkan tak tahu jaga hati orang tua
macam kita ni. Sihat ke kita, sakit ke..apa ke..entah-entah sekarang ni
dia tengah gembira dengan budak perempuan tu. Anak kita dah kena
guna-guna agaknya?” Puan Arfah menduga.
“ Astagfirullahalazim…mengucap Pah,mengucap. Berdosa tau
tuduh budak tu sebarangan. Boleh jadi fitnah. Cuba jangan beri
pandangan yang negatif pada dia. Nampak sikit kesilapan atau kesalahan
dia, awak dah terus jatuhkan hukuman. Sehinggakan kebaikan dia awak dah
tak pandang. Manusia ni mana ada yang sempurna. Akhil tu, sempurna
sangatkah akhlaknya? Awak dengan Akhil, perangai sama saja. Keras
kepala..keras hati. Sebab tu sorang ke utara, sorang ke selatan.”
Puan Arfah terkesima mendengar kata-kata suaminya. “ Maafkanlah
dan terima mereka berdua dengan lapang dada.” Suaminya terus
beredar dari situ meninggalkan Puan Arfah keseorangan.
“ Maaf?” Terpacul perkataan itu dari mulut Puan Arfah.
Lantai bilik itu dipandang sepi, fikirannya menerawang jauh memikrkan
kata-kata suaminya sebentar tadi.
Julai 2008, Johor Bahru
Leeya memejamkan matanya, mulutnya
terkumat-kamit membaca doa. Dalam hatinya hanya Tuhan saja yang tahu pelbagai
perasaan yang bermain dijiwanya ketika ini. Leeya terasa tidak sanggup melihat
keputusan KPLI yang terpapar di skrin desktop di hadapannya kini. Luluskah atau
gagalkah dia? Disebalik sudut lain, kelihatan Shida sedang mengerutkan dahinya
melihat gelagat pelik Leeya.
“ Iskh! Betul ke tidak Leeya nih? Apa
kehe dia ni? Ha..entah-entah tengok gambar yang tutttt” Shida tersengih
dan kakinya melangkah ke tempat Leeya. Kehadirannya tidak disedari oleh Leeya. “
Woi!!” Shida memeranjatkan Leeya.
“ Oi..mak kau lanun.” Leeya melatah.
Shida tertawa terkekek-kekek. “ Kau ni..boleh tak jangan terkejutkan aku. Aku ni
dah lah lemah semangat.” Leeya cuba mencubit lengan Shida tapi sempat di elak
oleh Shida.
“ Amboi..kau kata mak aku lanun. Sopan betul bahasamu itu.
Kau tengah buat ha? Sampai pejam-pejam mata, mulut terkumat-kamit lak tu..kau
baca mentera ek?” Shida menyoal. Namun matanya tertumpu di skrin
komputer. Matanya dikecilkan untuk membaca apa yang tertera di desktop
computer tersebut. Mulutnya ternganga. Dahi Leeya berkerut melihat gelagat
Shida. “ Wah..tahniah Leeya. Kau berjaya lah.” Pantas Leeya menoleh. Dia membaca
apa yang terpapar dan membacanya sekali lagi untuk memastikan betulkah apa yang
dia baca sekarang ini. Jantungnya yang berdegup kencang tadi mula beransur
normal. Air matanya bergenang di hujung matanya dah jatuh ke pipi. Dia memandang
wajah Shida.
“ Aku berjaya Shida..aku berjaya. Alhamdulillah, at
least aku berjaya untuk pergi temuduga nanti. Harap-harap temuduga tu aku
berjaya juga.” Air matanya diseka. Shida tersenyum.
“ Tahniah Leeya. Aku
berdoa kau akan menjadi seorang pendidik yang professional dan
berkaliber. Tak payahlah kau kerja di kedai dobi ni lagi. Tinggallah kami di
sini.” Shida membuat muka sedih.
“ Terima kasih atas sokongan kau, tapi
banyak lagi yang perlu aku lalui untuk menjadi seorang pendidik ni. Sentiasa
doakan aku tau dan janganlah buat muka sedih kau tu. Terharu aku.” Kami tertawa
berdua.
*******************************************
Kucapai seulas lagi buah durian yang terakhir dan menikmatinya. Sebakul
besar buah durian yang dapat ayah kutip pagi tadi di kebun. Sekarang memang
musim buah-buahan di kampung. Musim buah-buahanlah yang paling aku suka.
“ Hai..orang pagi-pagi sarapan kuih-muih ke, nasi goreng ke..ini tidak,
pagi-pagi dah sarapan durian dulu.” Ibu menegurku yang sedang asyik menikmati
buah durian.
“ Ibu..Leeya bukan selalu pun makan durian nih. Bila tiba musim
saja baru Leeya teruja nak makan.” Aku tersengih.
“ Ermm..sekarang buah
durian dah tak payah tunggu musim pun. Bila-bila saja boleh dapat. Beli
aje lah.” Kata ibuku.
“ Lainlah ibu..tak sama.” Ibu hanya
mengelengkan kepala mendengar jawapanku. Kubingkas dari tempat dudukku dan
membuang kulit-kulit durian di luar. Aku mendongakkan kepala dan melihat
bergugus-gugus rambutan yang kemerahan dihujung-hujung dahan. Kucapai galah yang
tersandar di pokok dan mula memetik buah rambutan pula. Bukan selalu aku dapat
pulang ke kampung. Bila sudah di kampung memang aku tak akan sia-siakan masa
yang singkat itu. Buah rambutan yang jatuh ke tanah kukutip dan dimasukkan ke
dalam bekas. “ Ibu..Leeya ada berita nak beritahu ni.” Aku melabuhkan punggungku
di bangku yang terletak diluar berhampiran pintu dapur. Ibu yang sibuk
menggoreng keropok ikan menolehku. “ Leeya dapat pergi temuduga KPLI bulan 9
nanti.” Aku tersengih memandang ibu.
“ Alhamdulillah..berjaya jugak
dapat pergi temuduga tu. Kalau tak, setakat ambil periksa ajelah. Masuk ni dah 3
kali Leeya ambil periksa kan?” Ibu menyoalku. Aku hanya menganggukkan kepala
sahaja tanda mengiakan. “ Temuduga nanti jawab betul-betul. Banyakkan baca
suratkhabar, pasal isu-isu semasa sekarang ni. Seorang guru mesti peka pada
hal-hal macam tu. Jangan di baca majalah hiburan saja, apa ada. Buku-buku ilmiah
kan banyak dijual. Lagi bagus dan banyak faedahnya.” Aku bingkas dari tempat
dudukku dan masuk ke rumah. Aku mendengar sahaja kata-kata ibu. Malas aku nak
menyampuk. Nanti lagi panjang berjela.
“ Idah, kawan Leeya yang duduk
dekat hujung kampung tu dah bersalin ibu. Anak lelaki lagi.” Aku mengubah topik.
Air teh o kuhirup perlahan.
“ Ermm..ibu ada terserempak dengan dia dekat
pekan minggu lepas. Tanya jugak dah berapa bulan. Dia kata tengah menunggu hari
jek. Tengok, dia dah anak dua pun. Leeya bila lagi?” Terkedu aku mendengar
soalan ibu. Argh! Soalan membunuh ni. Aku diam. “ Akhil tak ada cakap-cakap nak
masuk meminang?” Sesak nafasku bila nama Akhil disebut ibu. Salahku juga
menyembunyikan hal yang sebenar dari pengetahuan ibu akan perhubunganku dengan
Akhil. Ibu..maafkan Leeya, Leeya tak sampai hati nak beritahu ibu. Leeya tak
mahu ibu tahu yang anak ibu ini sedang derita..sedang terluka. Leeya tak mahu
ibu susah hati memikirkan pasal Leeya. Biarlah ibu lihat Leeya gembira, walau
hakikatnya hati ini sepi.
“ Ibu. Seluar jeans Haikal yang warna hitam tu
mana?” Tiba-tiba adikku muncul di dapur. Aku berasa lega. Sekurang-kurangnya aku
tidak perlu menjawab soalan ibu. Aku mula beredar dari dapur. Kubiarkan
persoalan itu tanpa dijawab. Biarkan…Tapi kupasti, suatu hari nanti ibu akan
tahu juga. Biarlah ketika itu aku telah buang jauh-jauh Akhil dari hidupku.
Biarlah ketika itu tiada lagi airmata yang akan gugur untuk kekecewaan
ini.
2008, Pahang
Angin pantai Cherating bertiup
lembut. Ombak laut yang bergulung-gulung menghempas pantai mengamit para
pengunjung datang, terutama sekali para peluncur papan air. Tidak hairanlah
sekiranya Cherating telah diberi gelaran ‘Syurga Peluncur’ sejak tahun 70an
lagi. Akhil duduk bersantai di kerusi rehat yang disediakan di situ.
Kadang-kadang dia tertawa sendirian melihat gelagat kawan-kawannya yang sedang
asyik mandi laut. Kelihatan Ustaz Syukri berlari-lari menuju ke arah
Akhil.
“ Kenapa tak nak mandi sama Khil? Rugilah datang sini tapi tak nak
mandi laut.” Ustaz Syukri duduk bersebelahan Akhil. Akhil tersengih.
“
Ala..esok ada lagi kan kita di sini. Pagi-pagi esok aku mandi laut lah.” Aku
tertawa kecil. Suratkhabar Berita Harian kuselak helaian seterusnya.
“
Khil, aku nak tanya ni. Jangan marah pula kalau soalan ni soalan yang kau tak
suka nak dengar atau nak jawab.” Aku memandang wajah Ustaz Syukri. “ ermm…kenapa
kau tak pedulikan perasaan Ana? Dia suka kat kau Khil, takkan kau tak perasaan
semua tu? Kesian dia Khil, dia beritahu pada aku yang dia cintakan kau. Tapi dia
kata kau buat tak endah jek pada dia. Kenapa?” aku menghela nafas. Kulipat
suratkhabar yang kubaca dan sesungguhnya soalan yang diutarakan oleh Ustaz
Syafik sesuatu yang tidak kuduga.
“ Aku tahu semua tu. Aku perasan
perasaan Ana terhadap aku selama ini. Kalau kau nak tahu, aku hanya anggap dia
seperti kawan sahaja, tak lebih dari itu. Hati aku tiada pada aku.” Dahi Ustaz
Syukri berkerut memikirkan kata-kata Akhil yang terakhir.
“ Hati kau
tiada pada kau? Maksudnya, hati kau dah kau berikan pada seseorang. Begitu?”
Ustaz Syukri cuba menduga. Aku tersenyum. Wajah Leeya bermain-main dimatanya
kini. “Ooooo..kenapa kau tak beritahu yang kau dah ada buah hati. Wah..setia
betul kau yek. Dah lama kau berkawan dengan dia?” Ustaz Syukri menyoal lagi.
Akhil diam seketika. Patutkah aku menceritakan segalanya kepada Ustaz? Akhil
memandang wajah kawannya itu.
“ Ustaz, sebenarnya….” Berat sungguh mulut
ini untuk menuturkan kata.
“ Sebenarnya apa?” Ustaz Syukri menyoal
inginkan kepastian. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh
Akhil.
“ Kau kena janji Ustaz, kau kena simpan rahsia ini daripada
sesiapa pun.” Ustaz mengangguk tanda faham. Aku mula menceritakan segalanya
kepada Ustaz. Sesekali dia menganguk kepalanya. Berkerut juga wajah Ustaz
mendengar kisah aku.
“ Aku simpati pada pada kau Khil. Kadang-kadang kita
sebagai anak kena fahami bahasa orang tua ni dalam marahnya. Kita kena selami
rasa orang tua dalam rajuknya. Aku ada membaca sebuah buku motivasi tulisan
Pahrol Mohd Juoi, Tentang Cinta. Aku ingat kata-kata yang ditulis oleh beliau.
Ermm.. jika cintamu terhalang oleh mereka,ketahuilah di sebalik halangan itu
adalah cinta jua. Jangan mengalah jika cintamu benar, tetapi perjuangkanlah
cinta itu dengan cara yang benar pula. Dalam keadaan kau sekarang ni, aku
fikir kau patut pulang ke pangkuan orang tua kau. Minta maaf pada mereka. Itu
adalah jalan yang terbaik untuk kau mendapatkan kembali cinta kau yang semakin
menjauh itu. Masalahnya kini, kau tidak berusaha untuk mendapatkan kembali cinta
itu. Dua cinta semakin jauh daripada kau sekarang ni Khil. Cinta kepada ibu bapa
dan cinta dari kekasih kau. Jangan kau jauh dari mencintai Allah sudah. Parah
tu.” Aku tertunduk memikirkan kata-kata Ustaz Syukri. Kata-katanya memang ada
benarnya. “ Pulanglah Akhil, umur kita ni tak tahu panjang ke tidak. Mungkin
orang tua kita akan pergi dulu, atau mungkin kita yang akan pergi dulu. Selagi
ada kesempatan ni, kau jernihkanlah yang keruh itu. Perbaiki dulu hubungan kau
dengan orang tua kau. Aku yakin, kau akan mendapat cinta kau yang menjauh tu.
InsyaAllah. kau kena yakin pada Allah.” Panjang benar nasihat Ustaz Syukri
walaupun dia sememangnya bukan ustaz tapi ayah dia yang meletakkan nama itu
padanya. Ada air jernih yang mengalir dihujung mataku. Air mata itu, kuseka.
“ Terima kasih Ustaz, aku rasa lega sekarang sebab beban masalah ni aku
kongsi bersama-sama kau. InsyaAllah..aku akan perbaiki dan perbetulkan kesalahan
yang aku dah lakukan ini.” Ustaz Syukri menepuk-nepuk bahuku.
“ Ingat
Khil, sekiranya cinta kau tu semakin menjauh juga, anggaplah itu Qada’ dan Qadar
yang telah Allah tentukan untuk kau. Kau kena redha semua itu. Cinta bukan untuk
memisahkan tetapi ia sentiasa akan menemukan. Allah Maha Mendengar dan Maha
Mengetahui apa yang ghaib, yang belum berlaku. Sentiasalah berdoa dan jangan
putus asa.” Sungguh mendalam kata-kata Ustaz yang disampaikan kepadaku. Suatu
perasaan aneh tiba-tiba muncul membangkitkan semangatku. Ya..aku tidak boleh
duduk diam mengharap cintaku akan kembali. Aku kena dapatkan ia balik. Walaupun
ada pelbagai kemungkinan yang akan berlaku aku perlu berani menghadapinya. Aku
bukan pengecut..bukan! “ Eh, aku pergi dulu lah. Laut tu sedang
memanggil-manggil nama aku.” Ustaz Syukri bingkas dari tempat duduknya. “ Khil,
dengarkan satu lagu untuk kau nih. Jangan tunggu lama-lama nanti dia di ambil
orang..jangan tunggu lama-lama nanti dia di ambil orang..” Ustaz Syukri terus
lari mendapatkan kawan-kawannya yang lain. Aku hanya menggelengkan kepala
sahaja.
Mak..ayah..maafkan Akhil sebab buat mak dan ayah kecewa
dan terluka. Akhil tiada niat pun..tiada. Leeya..maafkan Akhil sebab buat Leeya
menangis dan derita kerana sikap Akhil yang menjauhkan diri dari Leeya. Akhil
bersalah sebab Akhil tidak tunaikan janji pada Leeya. Akhil silap!
September 2008, Johor Bahru
Bazar ramadhan Bandar Baru Uda penuh dengan pengunjung
tidak kira peringkat umur dan bangsa. Ketika inilah para peniaga
mengambil kesempatan memperolehi pendapatan lebih berbanding hari-hari
lain. Boleh dikatakan bulan ramadhan bulan pesta makanan kerana
pelbagai jenis makanan ada dijual, ia bagaikan one-stop center. Keadaan
menjadi sesak dan pelbagai ragam manusia dapat dilihat. Aku hanya
mengekori belakang Kak Intan saja, takut terpisah. Aku lihat pelbagai
makanan dan minuman yang tidak pernah dilihat sebelum ini dijual.
Ermm..inilah strategi peniaga untuk melariskan jualan mereka.
Macam-macam nama makanan dan minuman diberi.
“ Leeya nak beli apa-apa lagi tak?” Soal Kak Intan. Aku melihat bungkusan plastik makanan yang aku beli tadi.
“ Rasanya dah cukuplah ni kak, banyak juga ni kita beli untuk berbuka nanti. Tak baik membazir.” Kak Intan senyum.
“ Kalau macam tu kita balik ya. Akak rasa rimas ni, sesak sangat.
Lagipun kita nak memasak lagi.” Aku hanya mengangguk sahaja. Aku
hanya membontoti Kak Intan untuk keluar dari bazaar ramadhan yang
semakin penuh dengan warga manusia. Kami berdua terus menghala keluar
menuju ke arah kereta yang di parkir.
“ Hui..ramai orang betullah kat bazaar ni. Sebab tu akak jarang
pergi bazaar ramadhan. Akak mudah rasa rimas.” Rungut Kak Intan.
Aku hanya tersengih sahaja. Memang itulah salah satu sikap Kak Intan,
dia memang tidak suka kepada kesesakan. Mudah stress. “
Tengok, kita nak keluar pun susah nih. Banyak pula kereta..eeee..leceh
betullah. Kita lagilah nak cepat, dia orang ni terhegeh-hegeh. Kalau
bukan disebabkan ayam percik Che Embun tu memang akak tak kuasa nak
datang sini.” Aku hanya mendengar sahaja omelan Kak Intan. Kereta
yang dipandu Kak Intan mula meluncur laju apabila ada ruang untuknya
bergerak keluar dari tempat parkir. “ Kita masak yang simple aje
lah hari ni ye Leeya. Lagipun kita dah beli macam-macam makanan
tu.” Kata Kak Intan kepadaku yang sedang asyik membelek majalah
Wanita.
“ Saya tak kisah kak, kalau masak banyak-banyak pun membazir pula
nanti. Lauk semalam pun ada lagi dalam peti sejuk tu. Budak-budak kat
rumah tu bukan makan banyak sangat pun. Lagi-lagi masa sahur.”
“ Aah, Leeya..lauk sambal ikan semalam tu ada lagi yek. Kita
panaskan aja lah. Balik nanti masak sayur dengan nasi saja. Lagipun
akak nak ambil Dina lagi.” Aku menganggukkan kepala. Dina
merupakan anak bongsu Kak Intan yang baru berusia 4 tahun yang
diletakkan dirumah kakak angkatnya. Lagipun di sana anak-anak kakaknya
ramai dan boleh di buat kawan.
Leeya masuk ke biliknya selepas pulang dari solat Terawih
di masjid bersama-sama Kak Intan dan tiga orang anaknya. Telekung yang
menyarungi tubuhnya di buka dan di sidai di suatu sudut. Di ruang dapur
kedengaran suara anak-anak Kak Intan seperti merebutkan sesuatu. Aku
melangkah keluar dari bilik dan menuju ke ruang dapur.
“ Bagilah sama rata bunga api tu dengan adik-adik Hafiz. Kamu
yang sulung kenalah mengalah.” Kak Intan menegur anaknya.
Adik-adiknya yang lain bising sebab bunga api yang diagihkan oleh
abangnya sedikit berbanding milik abangnya. Dina mula merengek. “
Bagi cepat, nanti mama tak nak belikan lagi bunga api ni.” Kak
Intan terpaksa bertegas. Dia tidak mahu Dina menangis kerana Dina susah
sedikit untuk dipujuk. Hafiz terpaksa bagi beberapa batang lagi bunga
api kepada Dina dan Syamil. Aku tersenyum melihat ragam anak-anak Kak
Intan.
“ Cik Leeya pun nak main bunga api juga. Dina tak nak kongsi
dengan makcik.” Gurauku kepada Dina. Dina menyembunyikan bunga
apinya dibelakang badannya.
“ Tak boleh.” Dina terus berlari meluru ke ruang depan
rumah untuk bersama-sama dengan abang-abangnya yang sedang asyik
bermain bunga api dengan anak jiran sebelah rumah. Aku mencapai gelas
untuk membuat air nescafe panas.
“ Akak nak air Nescafe? Saya buatkan sekali.” Pelawaku
kepada Kak Intan yang sedang sibuk menanak nasi untuk sahur esok.
“ Boleh juga. Orang dah pelawa, mana boleh tolak.” Kami
berdua ketawa. “ cepat masa berlalu ya Leeya. Sekarang ni dah
masuk 15 ramadhan. Pejam celik..pejam celik dah nak raya kita rupanya.
Iskh!..banyak benda nak kena buat ni. Biskut raya nak kena buat sikit
juga.” Kak Intan menarik kerusi meja dan melabuhkan punggungnya.
Aku menghirup air yang telah siap kubancuh.
“ Akak beraya sajalah dirumah saya kat kampung. Ibu Leeya pun mintak Leeya ajak akak.” Kak Intan mengeluh kecil.
“ Akak tak mahu susahkan kamu sekeluarga. Biarlah kami sekeluarga
beraya di sini saja Leeya. Lagipun dah biasa pun.” Kak Intan cuba
menolak pelawaanku.
“ Kak..kami sekeluarga dah anggap akak sekeluarga macam keluarga
kami. Saya sendiri terhutang budi pada akak sebab memberikan tempat
tinggal bersama-sama dengan akak. Beri pekerjaan pada saya. Akak bukan
tak biasa pun dengan kelurga saya. Budak-budak tu mesti suka.”
Kak Intan merenungku.
“ Tengoklah macam mana, akak fikirkan dulu ya.” Aku tersenyum.
“ Akak fikirkanlah, saya tidak memaksa.” Terdengar bunyi
dentuman mercun dan keriuhan kanan-kanak yang gembira bermain mercun di
luar. Bulan ramadhan dan hari rayalah peluang mereka bermain bunga api
dan mercun. Hanya kegembiraan yang mereka tahu. Itulah dunia
kanak-kanak, penuh dengan warna-warni kehidupan.
“ Leeya, akak nak tanya sesuatu.” Aku memandang wajah putih
mulus milik Kak Intan. “ Leeya dan Akhil masih berhubung?”
dadaku terasa bergetar pabila soalan itu dibangkitkan.
“ Entahlah kak, keadaan saya seperti gantung tidak bertali.
Selalunya orang yang sudah berkahwin yang melalui situasi macam ini.
Akhil tinggalkan saya begitu saja walaupun sebenarnya masih ada rasa
sayang di antara kami berdua. Puas saya memujuknya dia kak, supaya
selesaikan perkara ini dengan bijak. Tapi Akhil lain, dia degil. Saya
tidak mahu dia jadi anak derhaka, sebab saya sayangkan dia. Sekarang
ini saya tidak tahu di mana dia berada. Dia ada beritahu saya yang dia
akan tinggalkan JB dan pergi jauh dari sini. Tinggalkan semua. Hari
pertama puasa saya ada sms dia. Saja nak mengucapkan selamat berpuasa
pada dia. Dia ada balas, dia kata dia rindukan dan masih sayangkan
saya. Saya jadi serba-salah kak.” Aku menghirup saki-baki air
Nescafe yang masih tinggal. Rasa sakit dihati mula menusuk-nusuk.
“ Mengapa Leeya rasa macam tu pula? Akak tak faham.” Dahi Kak Intan berkerut.
“ Sebenarnya kami saling mencintai lagi. Perasaan tu semakin kuat
walaupun kami berjauhan dan jarang berhubung. Saya dapat rasakannya
kak. Saya masih mengharapkan hubungan ini akan kekal hingga akhir hayat
saya. Tapi kemungkinan tu tidak pasti lagi. Saya serba-salah sama ada
saya patut lepaskan dia pergi atau tidak. Masalahnya hubungan kami ini
bagaikan tiada noktah. Tidak tahu apa yang akan jadi. Bagaikan penulis
yang ketandusan idea untuk menyiapkan penulisannya. Tergantung
ceritanya.”
“ Wah..seperti bermadah pula.” Aku tersenyum apabila Kak
Intan berkata begitu. “ Jangan putus-asa Leeya,
sesungguhnya Allah tidak suka kepada hamba-NYA yang berputus asa.
Setiap jalan yang kita pilih walaupun banyak duri dan halangan yang
membuatkan kita terluka dan terjatuh yang pastinya setiap penghujung
jalan itu adalah cahaya kebahagiaan. Tapi sepanjang perjalanan itu
hendaklah dibekalkan ilmu dan iman, takut-takut terjatuh dan tidak akan
bangun lagi.”
“ Akak pun apa kurangnya juga, pandai berkata-kata. Macam
berpuitis pula.” Kami berdua ketawa bersama. “ Saya
sentiasa berdoa semoga Allah bukakan pintu hati Akhil dan juga ibunya.
Moga-moga ibunya dapat terima saya seadanya. Kak..berdosakah saya kalau
niat dihati untuk menjalinkan ikatan silatulrahim? Kalau berdosa,
bagaimanakah saya perlu meminta maaf dengan ibunya?” Air mataku
mula bergenang. Luka setahun yang lalu kembali berdarah. Memang diri
ini tidak menyangka, akan ditolak mentah-mentah. Kesilapan besarkah
yang aku lakukan sehingga diri ini bagaikan tidak layak untuk menjadi
sebahagian keluarga Puan Arfah. Aku hanya ingin berkongsi kasih, bukan
merampas.
“ Niat itu suci Leeya. Allah paling suka hamba-NYA menjalinkan
ikatan silaturahim tetapi Allah paling benci orang yang suka memutuskan
silatulrahim. Jangan lupa berusaha dan berdoa, Allah Maha Mengetahui
dan Mendengar. Sabarlah.”
“ Terima kasih kak, sebab sudi mendengar masalah saya ni. Tapi
akak jangan beritahu sesiapa pun waima keluarga saya. InsyaALLAH saya
cuba selesaikan masalah ini.” Kak Intan menganggukkan kepalanya.
“ Akak pegang janji tu Leeya. Jangan bimbanglah. Akak nak tengok
budak-budak tu kat luar. Senyap aja. Apa yang mereka buat tu. Marilah
kita ke depan.” Kak Intan berlalu meninggalkan aku yang masih di
meja dapur. Aku bingkas dan menuju ke sinki untuk membasuh gelas yang
kugunakan. Ya Allah…aku redha di atas ketentuan-MU.
2008, Selangor
Di suatu sudut kelihatan Pak Johan sedang menganyam daun
ketupat dengan kusyuknya. Mulutnya terkumat-kamit mendendangkan lagu
Ahmad Jais yang sedang berkumandang di radio. Hatinya bagaikan berbunga
riang. Puan Arfah memandang pelik kelakuan suaminya yang menyanyi
sepanjang menganyam ketupat. Puan Arfah menuju ke arah suaminya.
“ Amboi bang..gembira sangat saya tengok hari ni. Selalunya nak
siapkan satu biji ketupat pun ambil masa. Banyak kerjalah konon. Hari
ni, dah naik penuh satu tudung saji ni dengan ketupat. Ada berapa biji
dah?” Puan Arfah memerli. Pak Johan masih meneruskan ayamannya.
“ Itu..lah orang perempuan, pantang nampak suaminya gembira
sedikit. Mulalah syak wasangka yang bukan-bukan. Tak baik syak wasangka
ni Pah. Boleh mengeruhkan keadaan.” Pak Johan tidak senang dengan
sikap isterinya itu.
“ Tanya pun tak boleh. Sudahlah, saya nak ke dapur.” Puan
Arfah mula terasa hati. Dia bingkas bangun dan menuju ke ruang dapur.
Kedengaran bebelan Puan Arfah di dapur menegur anak perempuannya yang
menolongnya memasak. Pak Johan hanya menggelengkan kepala sahaja.
Manalah anak-anak tak betah duduk di rumah kalau asyik kena bebel saja.
Semuanya serba tidak kena. Patut pun Akhil lari. Kata Pak Johan dalam
hati. Dia terus dengan anyaman ketupatnya yang tinggal sedikit sahaja
hendak siap.
“ Ishk! Mak tu asyik nak marah saja. Apa yang Sarah buat semua
tidak kena.” Pak Johan memandang anaknya yang sudah duduk di
sebelahnya yang sedang merungut. Daun kelapa untuk di buat ketupat di
pintal-pintal.
“ Rosaklah daun tu nanti. Kalau nak tolong abah buatkan tak apa
juga. Mak kamu dah memang macam tu perangainya. Nanti kamu dah
berkeluarga dah ada anak tahulah kamu macam mana.” Kata Pak Johan.
“ Abah ni, ke situ pula. Sarah tahu, mak mesti tengah fikirkan
abang Khil tahun ini balik ke tidak beraya. Sebab tahun lepas abang tak
balik. Sarah ada cuba hubungi abang Khil, tapi tak dapatlah. Abang tu
duduk dalam hutan ke?” Pak Johan ketawa kecil mendengar telahan
anaknya itu. Pak Johan memandang ke arah luar, kadang-kadang kelihatan
beberapa kenderaan lalu-lalang di hadapan rumah teres dua tingkat
miliknya ini. Di seberang jalan rumahnya terbentang padang bola yang
kini mula di penuhi anak-anak muda untuk bermain bola. Bunyi suara dari
televisyen yang baru di buka mencuri pandangannya. Terlihat Sarah
sedang asyik menonton rancangan Jejak Rasul di TV3. Isterinya pula
masih sibuk di dapur. Pak Johan meninggalkan tugasnya menganyam ketupat
dan beralih duduk di ruang tamu untuk melihat rancangan kegemarannya
ini.
“ Sarah..pergi dapur tolong mak kamu apa yang patut. Nanti lagi
bising mulut mak kamu membebel.” Pak Johan mengarah anaknya.
Sarah mencebik. Gadis berusia 25 tahun itu menuruti arahan abahnya dan
bingkas bangun menuju ke arah dapur. Sarah sahajalah yang tinggal
dengan dia suami isteri. Akhmal anaknya yang ketiga duduk sendiri
dengan kawan-kawannya. Manakala anak perempuannya yang bongsu masih
lagi belajar di Uitm Machang Kelantan.
Sebungkus kotak yang diterima siang tadi tertulis atas
nama Akhil di tatap oelh Puan Arfah. Pengirim bungkusan tersebut jelas
tertulis nama Marleeya Binti Mohammad. Hati Puan Arfah meronta-ronta
untuk membuka bungkusan itu yang diterima tadi. Argh! Buka
sajalah..nanti aku bungkus balik. Getus Puan Arfah. Jari-jemarinya
pantas membuka bungkusan itu dengan cermat. Sesekali dia menoleh ke
arah pintu bilik yang tertutup renggang untuk memastikan tiada siapa
yang masuk ke bilik ini. Dibuka kotak hadiah berwarna biru itu.
Kelihatan sepasang baju melayu berwarna hijau epal di dalamnya. Puan
Arfah membuka pula sampul surat yang disertakan sekali dengan
berhati-hati. Jantungnya terasa berdebar-debar. Dibuka lipatan surat
itu dan membacanya.
Assalammualaikum…
Maafkan
Leeya sekiranya surat ini menganggu abang. Leeya tidak tahu bagaimana
untuk memberikan hadiah ini kepada abang. Hanya alamat rumah abang
sahajalah yang Leeya tahu. Selamat Hari Lahir….sayang. Leeya
tidak tahu bilakah surat dan hadiah ini akan diterima oleh abang. Jika
abang sudah terima hadiah ini, itu bermakna abang sudah kembali
kepangkuan keluarga abang..alhamdulillah. Itulah yang Leeya
harap-harapkan.
Sempena
bulan ramdhan dan ketibaan bulan Syawal yang tidak lama lagi ini, Leeya
ingin memohon maaf sejak dari awal perkenalan kita sekiranya Leeya
pernah membuat abang sedih..terluka..dan marah. Maafkan Leeya. Halalkan
makan minum Leeya ya. Leeya tidak mahu berhutang apa-apa dengan abang.
Sekiranya ada jodoh kita, InsyaALLAH kita akan berjumpa. Saya doakan
kebahagian abang untuk dunia dan akhirat. Jagalah perhubungan dengan
Allah dan orang tua abang ya.
Kirim salam
saya pada ibu dan ayah abang. Nampaknya saya memang tidak berpeluang
untuk mengenali mereka dengan lebih rapat. Saya mohon ampun dan maaf
kepada ibu abang sekiranya saya pernah mengguris hatinya. Saya hanya
manusia biasa. Ku mohon restu darinya.. Selamat Hari Raya
Aidilfitri…
Wassalam
Leeya
Setitis air mata mula menitis memgenai surat yang di baca
oleh Puan Arfah. Rasa bersalahnya mula memenuhi ruang hatinya. Sebak
yang ditahan terhambur jua dengan tangisan. Diketap bibirnya agar
tangisannya tidak di dengari. Ya Allah..apa yang telah aku lakukan ini
Ya Allah. Kerana kepentingan diri, aku lupa pada dua hati yang derita.
Apa salah mereka sehingga aku menghukum mereka begini. Menghalang
perhubungan mereka demi kepentingan aku yang tidak sanggup kehilangan
Akhil, yang tidak sanggup kasih Akhil dikongsi bersama wanita lain.
Sehingga aku sanggup memberikan alasan yang tidak munasabah agar Akhil
meninggalkan Leeya.
“ Kalau awak nak melihat kegembiraan Akhil, berilah apa yang
membuatkan Akhil gembira.” Terngiang-ngiang kata-kata suaminya
ditelinganya kini. Airmatanya terus mengalir laju menyesali atas
perbuatannya. Akhil…mak minta maaf Khil.
Oktober/ Syawal 2008, Kluang Johor
Aku menghirup udara pagi di kampung, nyaman sungguh. Aku
melihat keletah Darwisy anak sedaraku yang sudah berumur setahun
sembilan bulan itu sedang memunggah keluar barang-barang dapur yang
terletak dalam almari. Aku tertawa kecil.
“ Ya Allah..si kecik ni tak habis-habis nak mengemas. Tok mak dah
kemas dah bang..letak balik dalam almari tu.” Mak mengambil
bekas-bekas yang berisi garam, ajinomoto dan sebagainya dan diletakkan
balik ke dalam almari.
“ Darwisy. Sini ikut Mak Ngah. Kita pergi bilik pakcik-pakcik
kamu yang tak bangun-bangun lagi tu. Diorang tak ingat nak solat sunat
raya ke?” Aku mendukung Darwisy dan membawanya ke bilik
adik-adikku. Iskh! Dasyat betul pakcik-pakcik kamu tidur. Aku
menggelengkan kepala. Kuletakkan Darwisy dan dibiarkannya bermain-main
dalam bilik.
“ Haikal..Paie..Jali..bangunlah. Ayah suruh bangun! Cepat mandi
nanti nak pergi masjid solat sunat hari raya.” Aku bersuara
lantang mengejutkan adik-adikku. Seorang demi seorang menggeliatkan
badan. “ Jangan kata aku tak kejutkan sudah.” Aku memimpin
Darwisy keluar dari bilik tersebut dan menuju ke dapur. Emak dan kak
Long sedang sibuk mengisi lauk-pauk untuk dihidangkan di meja. Aku
membiarkan Darwisy bermain-main di ruang dapur dengan pengawasan kami
bertiga. Kuambil bekas-bekas biskut yang sudah dilapkan untuk kuisi
dengan biskut raya. Jam sudah menunjukkan pukul 7.40 pagi. Seorang demi
seorang adik-adikku muncul di ruang dapur setelah dikejutkan ayah
selepas aku mengejutkan mereka. Masing-masing menunggu giliran untuk
mandi kerana abang iparku sedang menggunakan bilik air. Lagu-lagu raya
berkumandang memeriahkan suasana pagi ini. Syukur alhamdulillah sebab
Allah masih memanjangkan umurku untuk bersama-sama meraikan Hari Raya
dengan keluargaku. Akhil! Tiba-tiba nama itu terlintas difkiranku.
Selamat Hari Raya sayang…
Kereta Toyota Vios berwarna silver membelah Highway
Utara-Selatan dengan laju. Debaran di dada sesekali terasa apabila
signboard ke Yong Peng menunjukkan beberapa kilometer sahaja akan tiba.
Kadang-kadang terukir senyuman manis dibibir Akhil. Baju melayu cekak
musang berwarna hijau epal itu tersalut segak ditubuhnya. Lagu Nazam
Lebaran nyanyian Siti Nurhaliza berkumandang di radio kereta.
“ Sebenarnya baju ni, Leeya yang hadiahkan kepada Akhil.”
Tersentak dadaku apabila mak memberitahu kenyataan itu di kala aku
sedang memohon ampun dari mak. Mak mengukirkan senyuman. Bermacam-macam
perasaan yang berbaur ketika ini. “ Emak lupa nak beritahu yang
Khil ada terima bungkusan dari Leeya tempoh hari. Mak minta maaf sebab
mak buka bungkusan itu. Surat yang Leeya sertakan sekali pun mak
ada mak letakkan di dalam laci meja di bilik Khil.” Abah
dan adik-beradikku merenung aku yang seperti terpinga-pinga.
“ Mak dah tak marahkan Akhil berkawan dengan Leeya?” Aku bertanya untuk kepastian. Mak tersenyum.
“ Mak minta maaf Khil, jikalau selama ini mak kadang-kadang lupa
yang anak-anak mak dah dewasa. Mak lupa yang kamu mempunyai pilihan
sendiri dan cara sendiri untuk menentukan kehidupan kamu.” Jelas
Puan Arfah.
“ Mak kamu tu dah lama memaafkan kamu Khil. Cuma ego saja yang
tinggi. Abah tak kisah siapa pilihan kamu, asalkan dia seorang yang
benar-benar menyenangkan hati kamu.” Abah menyampuk.
“ Khil mohon restu dari mak dan abah. Khil betul-betul minta
ampun sebab selama ini Khil membuatkan mak dan abah susah hati. Maafkan
Khil.” Khil memeluk erat Puan Arfah dan Abahnya. Terasa dadanya
yang selama ini sesak akhirnya terasa lega. Beban masalahnya yang satu
ini sudah hilang dari pundak bahunya kini. Ya Allah..kubersyukur
kepada-MU. Hanya air mata kegembiraan yang mengalir dipipinya kini.
Wajah lembut Leeya terbayang-bayang di matanya.
Tol Yong Peng telah dilewati dan kini kereta itu terus dipandu menuju ke Kluang. Leeya..tunggu abang sayang.
Dua buah kereta masuk ke perkarangan rumah En.Muhammad dan
Puan Salmah. Encik Muhammad menjenguk dari tingkap untuk melihat siapa
tetamu yang datang. Baju melayunya disarungkan kembali ketubuhnya. Puan
Salmah membuka pintu dan menyambut kehadiran tetamu yang datang. Leeya
yang berada di ruang dapur sedang sibuk membasuh gelas-gelas di sinki
yang hendak digunakan malam nanti. Sudah menjadi kewajiban pada hari
raya pertama sudah bermula aktiviti marhabhan dari rumah ke rumah.
Kedengaran keriuhan di ruang tamu. Aik! Ada tetamu datang ke? Mesti
sedara-mara sebelah ayah. Getusku di dalam hati. Kuteruskan tugasku.
“ Leeya, mari ke depan. Ada orang jauh datang ni.” Terkejut
aku apabila ibu sudah berada di belakangku. Dahiku berkerut. Orang
jauh? Aku bertanya sendirian. Saudara jauh agaknya yang aku tak pernah
jumpa. Aku cuba bermonolog sendiri. Aku membontoti ibu. Setibanya tiba
di ruang tamu jantungku bagaikan tersentak. Kakiku terpaku berdiri
apabila seraut wajah yang aku rindui kini berada di depan mataku.
Dadaku tiba-tiba sebak. Air mataku mula bergenang. Tapi kucuba kawalnya
agar tidak disedari ibu dan ayah.
“ Apa yang tercegat lagi tu” ayah bersuara. Aku terkedu
seketika. Kuhulurkan tangan bersalaman dengan ibu bapa Akhil serta kaum
keluarganya yang hadir. Mata ini bertaut seketika dengan mata Akhil,
ada rindu pada mata itu. Pelbagai perasaan yang bermain-main dihatiku
kini. Kupasti penantian yang penuh menyeksakan selama ini akan berakhir
jua. Apa yang kulihat kini adalah kebahagiaan. Ya Allah..jika benarlah
dia untukku..ku mohon keredhaan-MU. Senyuman indah terukir jelas
dibibirku.
TAMAT…
Story by : ~ Alya Saffiyah ~
|